Archive for April, 2012

MENARIK BALIK KENDERAAN BERMOTOR

Sebagai penyewa, anda hendaklah memastikan bahawa ansuran bulanan dibayar mengikut jadual. Syarikat kewangan boleh menarik balik kenderaan bermotor yang disewa kepada anda bila:
•    Anda ingkar membayar dua ansuran berturut-turut atau ansuran terakhir

•    Jika penyewa meninggal dunia, keingkaran berlaku untuk empat ansuran berturut-turut

SIAPAKAH YANG BOLEH MENARIK KENDERAAN BERMOTOR ANDA?

Biasanya syarikat kewangan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat- Syarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang membenarkan penarik mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

PERILAKU PENARIK

Penarik haruslah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas menarik kenderaan bermotor daripada anda. Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan “Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik” untuk dipatuhi oleh penarik dan untuk melindungi kepentingan penyewa. Di antara peraturan tersebut adalah seperti berikut:
•    Penarik hendaklah menunjukkan kepada penyewa Perintah Penarikan dan kad kuasa yang diberi oleh syarikat kewangan sebelum menarik kenderaan bermotor
•    Mereka yang ditugaskan untuk menarik kenderaan bermotor hendaklah seminimum mungkin, melainkan dalam keadaan yang memerlukan kumpulan yang lebih ramai
•    Penarik hanya boleh memasuki premis dengan izin penghuninya atau penyewa kenderaan bermotor itu sendiri
•    Penarik hendaklah kelihatan profesional dan bertindak secara profesional

•    Bertindak secara kekerasan dan paksaan adalah dilarang sama sekali

•    Penyewa hendaklah diberi masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik

•    Selepas kenderaan bermotor ditarik, penarik hendaklah membuat laporan polis dengan serta-merta dan membawa kenderaan bermotor tersebut ke tempat yang diarahkan oleh syarikat kewangan terbabit

Sekiranya penarik melanggar peraturan di atas, anda boleh membuat aduan kepada syarikat kewangan terbabit atau kepada Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.

SEBELUM KENDERAAN BERMOTOR DITARIK

Syarikat kewangan anda seharusnya telah menghantar notis-notis berikut:
•    Notis Jadual Keempat. Ini adalah merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik kenderaan bermotor
•    14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis kedua akan dikeluarkan untuk memberitahu anda bahawa syarikat kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan bermotor selepas luput notis Jadual Keempat

Catatan: Sila ambil perhatian bahawa menurut Akta SB, notis akan dihantar oleh syarikat kewangan itu sendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui.